AHMAD Sohaimi (kanan) dan Pengurus Bilik Maklumat Operasi Makkah Ashrof Shamsuddin menunjukkan kad pengenalan diri jemaah haji yang menggunakan warna lanyard berbeza mengikut maktab.
Tuan Asri Tuan Hussein
asri_hussein@mediaprima.com.my


MENERIMA dan menyelesaikan aduan jemaah haji menjadi keutamaan pihak pengurusan 12 maktab Tabung Haji (TH) di sini dengan mengkategorikan aduan kepada 17 kod berbeza.

Pengarah Operasi Makkah Datuk Ahmad Sohaimi Abd Rahim berkata, jemaah haji boleh membuat apa saja aduan di kaunter khidmat pelanggan yang disediakan di setiap maktab.

"Kami ada 17 kod aduan dan setiap aduan yang diterima diletakkan di bawah kod yang kami kenal pasti itu," katanya dalam sidang media kepada wartawan Malaysia di hotel Abraj Al-Janadriyah yang menjadi pusat operasi TH di Makkah.

Beliau berkata, pihaknya akan berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan setiap aduan yang diterima dan tempoh penyelesaian bergantung kepada jenis aduan atau masalah itu.

"Jika ia masalah kecil, kami akan selesaikan segera. Kalau masalah sederhana seperti masalah bilik penginapan, pendingin hawa atau makanan, ia akan diselesaikan dalam masa tiga hari.

"Kalau ia perkara besar dan jarang berlaku, kami akan menelitinya sebelum mencari cara terbaik untuk menyelesaikannya," katanya.

Ahmad Sohaimi berkata, pihaknya membahagikan pengurusan 12 maktab yang menempatkan jemaah haji itu kepada empat zon dan jarak maktab dari Masjidilharam adalah antara 650 hingga 950 meter.

Menurutnya, jemaah diminta mengenal pasti maktab masing-masing dan setiap maktab memiliki warna lanyard atau tali kad pengenalan diri yang berbeza untuk memudahkan jemaah serta pihak pengurusan mengenali lokasi penginapan mereka.

Beliau juga meminta setiap jemaah haji Malaysia menjaga kad pengenalan diri dan rantai tangan yang dibekalkan kepada mereka.

"Dua dokumen itu harus dijaga dan dibawa ke mana-mana sahaja oleh jemaah sepanjang mereka mengerjakan haji kerana ia pengganti kepada passport mereka," katanya.

Ahmad Sohaimi berkata, pada kedua-dua barangan itu ada butiran peribadi jemaah yang membolehkan pihak berkuasa tempatan atau orang luar memberi bantuan sekiranya jemaah ditimpa masalah.

Sekiranya kad pengenalan diri atau rantai tangan itu hilang, Ahmad Sohaimi berkata, jemaah harus segera melaporkan kepada kaunter perkhidmatan pelanggan untuk ia diganti dengan serta-merta.

"Setiap laporan kehilangan akan direkodkan di dalam sistem kita untuk melihat trend bagi punca kehilangan dokumen-dokumen tersebut, adakah disebabkan oleh kecuaian jemaah atau kualiti barangan itu untuk tujuan penambahbaikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 1:27 PM