MOHAMED Hanipa (kiri) dan Ahmad Zahid. FOTO arkib NSTP
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin sedia berdebat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai isu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepang menyatakan hasrat berkenaan menerusi kenyataan, hari ini.

Mohamed Hanipa berkata, beliau membaca kenyataan Ahmad Zahid menerusi media yang mempersoalkan mengenai hasrat kerajaan ingin membatalkan undang-undang drakonian SOSMA.

"Saya ingin menyatakan di sini bahawa kerajaan menghormati hak dan kebebesan Ketua Pembangkang menyatakan pendapatnya mengenai SOSMA dalam kerangka kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Justeru itu, atas kapasiti rasmi saya sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri , InsyaAllah saya bersedia untuk berdebat dengan beliau berhubung isu SOSMA," katanya.

Menurut Mohamed Hanipa lagi, beliau yakin pihak media seperti RTM atau Astro Awani bersedia menyiarkan perdebatan itu secara langsung jika Ahmad Zahid bersedia menyahut cabaran berkenaan.

Ini kerana kata beliau, tujuan utama perdebatan itu adalah untuk mendidik masyarakat dan pada masa sama menghapuskan kekeliruan yang cuba ditonjolkan Ketua Pembangkang berhubung isu SOSMA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 11:18 AM