NOOR Azam (tengah) bersama pegawainya menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Negeri.
Ifwan Tun Tuah
ifwan@nstp.com.my

Seremban: Sindiket pengedaran dadah yang menjadikan rumah keluarga sebagai makmal dan pusat pembungkusan ditumpaskan polis dalam satu operasi khas di Taman Bidara, Rahang di sini, Khamis lalu.

Dalam operasi jam 8 malam berkenaan, polis menahan seorang lelaki berusia 49 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM143,025, selain sebuah kenderaan mewah, wang tunai serta jam tangan dengan nilai keseluruhan RM172,100.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, Op Terancang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dijalankan untuk membongkar kegiatan itu selepas siasatan teliti dan risikan dilakukan selama beberapa minggu.

“Kami percaya suspek yang sudah berkahwin menjadikan rumah teres setingkat yang didiaminya bersama keluarga sebagai makmal dan stor, selain pusat membungkus dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan dan negara jiran.

“Antara dadah yang dirampas dalam serbuan itu ialah jenis heroin, syabu, pil Erimin 5 dan pil ekstasi selain peralatan memproses dan membungkus dadah.

“Suspek yang mempunyai rekod lampau kesalahan berkaitan dadah juga didapati positif methamphetamine ketika ditahan dalam serbuan itu,” katanya ketika sidang media di IPK Negeri Sembilan di sini, semalam.

Beliau berkata, polis masih menyiasat lanjut identiti anggota sindiket yang lain.

Menurutnya, suspek kini direman tujuh hari dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Noor Azam berkata, statistik JSJN bagi tangkapan kategori bekalan dan memiliki dadah meningkat 34 peratus sepanjang Januari hingga Jun lalu iaitu daripada 1,385 orang kepada 1,860 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, tangkapan bagi kategori penyalahgunaan dadah pula menurun 36 peratus iaitu daripada 3,634 kepada 2,331 orang bagi tempoh sama.

Katanya, tangkapan pengedar juga menurun 27 peratus iaitu daripada 56 orang kepada 41 orang.

“Nilai sitaan bagi kes berkaitan dadah turut menunjukkan penurunan 11.28 peratus iaitu daripada RM2.126 juta kepada RM1.886 juta,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 10:54 AM