KEBAKARAN yang mengakibatkan warga emas rentung di Kampung Sauk. FOTO Ihsan Bomba
Balqis Jazimah Zahari
cnews@nstp.com.my


WANITA berusia 74 tahun ditemui rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Sauk di Kuala Kangsar, tengah malam tadi.

Pada kejadian itu, bomba menemui mayat mangsa dalam keadaan terlentang di bawah runtuhan bumbung di bahagian ruang tamu tingkat bawah rumah terbabit,

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Mohd Taufiq Abdul Sattar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.36 malam.

Beliau berkata, susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba BBP Kuala Kangsar dibantu BBP Lenggong dikejarkan ke lokasi.

Katanya, sebaik bomba tiba, kita dapati bahawa kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat.

“Pada awalnya bomba tidak mengetahui terdapat mangsa yang berada di dalam rumah berkenaan sehingga dimaklumkan seorang jiran.

“Sebaik api dipadamkan, anggota menggeledah seluruh bahagian rumah sebelum menemui mayat mangsa," katanya, hari ini.

Mohd Taufiq berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.11 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 8:11 AM