RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kedua-dua mangsa ditetak sekurang-kurangnya 17, kali oleh suspek dalam kejadian samun di sebuah stesen minyak di Desa Senadin, Miri, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@nstp.com.my


DUA pekerja sebuah stesen minyak dan seorang orang awam parah termasuk retak tengkorak akibat ditetak dengan parang dalam kejadian samun di premis itu di Desa Senadin, Miri, semalam.

Dalam kejadian pada jam 6.50 petang, ketiga-tiga mangsa dipercayai ditetak sekurang-kurangnya 17 kali oleh suspek lelaki berusia 57 tahun.

Pemangku Ketua Polis Daerah Miri Deputi Superintendan Aldrin Junaidi Kutoi, berkata gadis, 19, retak tengkorak dan cedera di belakang badan, manakala rakan sekerjanya, Robis William, 23, juga cedera di belakang badan.

Menurutnya, bapa kepada gadis berkenaan berusia 48 tahun turut cedera ketika cuba menyelamatkan anaknya yang diserang suspek berkenaan.

“Sebelum kejadian, suspek berpura-pura mencari barang sebelum mengeluarkan parang lalu menetak kedua-dua pekerja terbabit berulang-kali.

“Bapa kepada gadis itu yang kebetulan mengisi petrol di stesen minyak terbabit juga cedera ketika cuba menyelamatkan anak perempuannya dan menahan suspek,” katanya.

Katanya, suspek sempat mengambil sejumlah wang dari kaunter stesen minyak berkenaan dan melarikan diri.

“Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan orang awam, kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian dan suspek turut cedera akibat dibelasah orang awam,” katanya.

Katanya, kedua-dua mangsa wanita masih dirawat di Hospital Miri.

“Suspek direman hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 2:41 PM