DZULKHAIRI (kanan) menunjukkan rampasan motosikal yang dicuri ketika sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@nstp.com.my

Kulai: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes curi motosikal di sebuah flat di sini, minggu lalu.

Suspek ditahan jam 5 petang, pada 16 Julai lalu, di Taman Lagenda Putra di sini.

Turut dirampas motosikal yang didapati masih hilang.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian jam 8.45 malam 13 Julai lalu, pengadu meletakkan motosikal di bawah flat kediamannya sebelum ke rumah rakan.

“Kira-kira jam 9.15 malam, pengadu pulang ke rumah dan mendapati motosikal yang dianggar bernilai RM3,000 dicuri.

“Bertindak atas maklumat, kita melakukan serbuan dan menahan suspek serta merampas motosikal berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil soal siasat dijalankan, suspek mengaku mencuri motosikal itu bersama seorang rakan yang masih bebas.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan usaha mengesan rakan sama-sama melakukan jenayah dengan suspek masih diteruskan,” katanya.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 48 tahun ditahan di sekitar kawasan Kulai Besar di sini, jam 10.30 pagi, 8 Jun lalu, selepas disyaki mencuri barangan dalam kereta yang dianggarkan bernilai RM6,500.

Dzulkhairi berkata, pada jam 7.30 pagi, 7 Jun lalu, pengadu meletakkan keretanya dalam keadaan berkunci di sebelah restoran di Indahpura di sini.

Namun, ketika pengadu tiba di rumahnya kira-kira jam 8 pagi, barangan berharga di dalam keretanya tiada, dipercayai dicuri.

“Kita merampas pelbagai barangan daripada suspek antaranya 19 telefon bimbit, 54 beg pelbagai jenama, tujuh tablet, sembilan kad bank, kamera, tiga ‘power bank’, tujuh kalkulator, 18 kad Touch & Go, lima Smart Tag, 11 jam tangan dan 466 mata wang pelbagai negara,” katanya.

Katanya, semakan rekod jenayah mendapati suspek pernah ditangkap mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan bagi kes berkenaan, dia sudah dituduh di mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 10:33 AM