DR Wan Azizah ketika hadir Majlis Perjumpaan bersama Pemimpin PKR Sabah tetap kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi jawatan Presiden PKR, kata Saifuddin (gambar kecil). Foto NSTP/MALAI ROSMAH TUAH
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tetap kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi jawatan Presiden PKR pada pemilihan parti bulan depan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia berdasarkan persetujuan bersama Pakatan Harapan (PH) yang dibuat dalam Konvensyen Nasional parti itu pada 6 Januari lalu.

Katanya, berdasarkan persetujuan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, manakala Dr Wan Azizah sebagai timbalannya dan Anwar pula mengambil alih kepemimpinan negara selepas itu.

“Ini bermaksud, Datuk Seri Dr Wan Azizah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri berasaskan keputusan PH secara konsensus, manakala Datuk Seri Anwar kemudian nanti kalau tiada apa-apa halangan menjawat jawatan presiden, akan kekal.

“Sebab apa, Datuk Seri Anwar selepas itu perlu bertanding untuk menjadi Ahli Parlimen. Kita belum sampai tahap itu lagi, menjadi Presiden PKR, belum ada kapasiti untuk menjawat jawatan dalam kerajaan.

“Untuk itu, dalam tempoh itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri sesuai dengan konsensus PH,” katanya yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kepada media selepas perjumpaan dengan pemimpin PKR Sabah yang dihadiri Wan Azizah di Kota Kinabalu, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 9:48 PM