PENGARAH Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir. FOTO Arkib NSTp
Dawn Chan
cnews@nstp.com.my


PAS Selangor menafikan sebarang kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) walaupun bersetuju UMNO meletakkan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir meminta penyokong PAS memberikan kemenangan kepada pembangkang dalam pilihan raya itu untuk menguatkan peranan semak dan imbang.

Beliau berkata, keputusan PAS memberi laluan kepada BN yang meletakkan Datuk Lokman Noor Adam sebagai calon pada PRK ini, hanya melalui persefahaman antara kedua-dua parti.

Persetujuan PAS itu, katanya, tidak membayangkan sebarang isyarat untuk mengadakan kerjasama politik dengan BN.

“Memandangkan kedua-dua parti (BN dan PAS) kini dalam blok pembangkang, maka kami (PAS) bersetuju menjadi ahli yang baik dalam keadaan ini.

“Di Sungai Kandis, kami mahukan pertembungan satu lawan satu, dan kami meminta untuk PAS dibenarkan bertanding. Bagaimanapun, tuntutan UMNO untuk merampas kerusi itu lebih kuat, maka kami bersetuju.

“Ia menunjukkan kami hanya bekerjasama sebagai satu blok pembangkang yang longgar. Ini jelas bukan satu kerjasama politik. Kami tidak akan terbabit dalam kempen BN walaupun kami memberi laluan kepada mereka untuk bertanding,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka hadapan akhbar New Sunday Times yang membayangkan UMNO serta PAS boleh bekerjasama dalam pertandingan di PRK DUN Sungai Kandis.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, beliau berharap kedua-dua parti boleh terus bekerjasama pada masa hadapan.

PRK Sungai Kandis diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei dari PKR pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Mat Shuhaimi memperoleh 23,998 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi), Mohd Yusof Abdullah dari PAS (7,573 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76 undi).

PRK SUngai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Lokman Noor serta calon Bebas, K Murthy.

Roslan berkata, walaupun tidak turun berkempen untuk BN pada PRK ini, PAS Selangor akan menyakinkan ahli dan penyokongnya di Sungai Kandis untuk memberikan peluang kepada pembangkang memenangi pilihan raya itu.

Katanya, ia dilakukan melalui beberapa program PAS untuk mendekati ahli dan penyokong yang akan diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

“Kami akan menjelaskan kepada mereka bahawa Pakatan Harapan (PH) sudah menang majoriti dua pertiga, justeru memberikan kemenangan satu kerusi itu tidak akan memberi sebarang perbezaan. Bagaimanapun, kami akan memaklumkan kepada mereka ada perbezaan daripada segi semak dan imbang jika satu lagi kerusi diberikan kepada pembangkang.

“Adalah menjadi harapan kami supaya ahli PAS tidak memperkukuhkan kekuatan PH tetapi memberi peluang kepada pembangkang untuk memenangi kerusi itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 7:08 PM