KECEDERAAN pada leher mangsa akibat ditetak dengan pisau pemotong daging dipercayai oleh anak lelakinya, kelmarin. FOTO Ihsan Pembaca
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


LELAKI parah akibat ditetak pada leher dengan pisau pemotong daging dipercayai oleh anak lelakinya hanya kerana ditegur untuk mencari pekerjaan.

Kejadian dipercayai berlaku di sebuah unit pangsapuri di Taman Telipok Ria, Tuaran pada jam 7 pagi kelmarin.

Akibat itu, mangsa, 54, terpaksa menerima 14 jahitan di kiri serta empat jahitan di sebelah kanan lehernya dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1).

Difahamkan, pertengkaran mangsa dan anak lelakinya berusia 19 tahun berlaku selepas mangsa menegur supaya anaknya itu keluar rumah untuk mencari pekerjaan.

Suspek kemudian bertindak agresif apabila menetak leher mangsa menggunakan pisau pemotong daging sebelum dikejarkan ke Hospital Tuaran untuk rawatan lanjut.

Mangsa kemudian dipindahkan ke HQE 1 untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, selepas menerima laporan pada hari sama, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran menahan suspek di lokasi kejadian.

“Polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging. Suspek warga Filipina bersama barang rampasan dibawa ke IPD Tuaran untuk tindakan lanjut.

“Saringan ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 5:12 PM