BOT nelayan Vietnam yang ditahan di perairan Sedili Besar, dekat Kota Tinggi, Jumaat lalu. Anggota Maritim Malaysia menemui ikan yu yang masih hidup (gambar kecil). FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Junita Mat Rasid
junita@nstp.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan Vietnam dan merampas pelbagai hasil laut termasuk seekor ikan yu yang masih hidup kira-kira 27 batu nautika timur laut Sedili Besar, dekat Kota Tinggi.

Bot nelayan yang membawa enam awak-awak termasuk tekong berusia antara 29 hingga 41 tahun kesemuanya warga Vietnam, ditahan jam 11.45 pagi, Jumaat lalu.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, ketika diperiksa, tekong gagal mengemukakan dokumen berkaitan kargo hidup yang dibawa.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai hampir RM1 juta termasuk hasil laut serta peralatan menangkap ikan.

“Bot nelayan terbabit ditahan kapal peronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Ops Perkasa Selatan. Bot itu juga mempamerkan 'carving marking' yang mengelirukan di haluan vesel tetapi jelas menunjukkan ia adalah bot nelayan Vietnam.

“Tekong vesel juga gagal mengemukakan dokumen yang sah. Kita juga akan siasat bagaimana hasil laut hidup yang terdiri daripada ikan yu dan beberapa jenis udang. Kita percaya bot terbabit menangkap hasil laut dan sebahagian daripadanya diterima daripada bot ikan yang lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zulfadli berkata, bot terbabit dibawa ke Jeti Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran.

Menurutnya, tekong bot terbabit boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta, manakala awak-awak pula boleh didenda RM100,000 setiap seorang atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan, manakala bot terbabit boleh dilucutkan hak, jika sabit kesalahan.

Katanya, pihaknya akan memohon bantuan Jabatan Perikanan Malaysia bagi siasatan kes itu, manakala hasil laut akan dilelong kecuali ikan yu dilepaskan semula ke laut.

“Maritim Malaysia berterima kasih kepada komuniti nelayan dan pihak yang sentiasa melaporkan aktiviti berkaitan pencerobohan bot nelayan asing khususnya Vietnam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 4:57 PM