MASZLEE (depan - empat kiri) bersama guru besar dan pengetua sekolah pada majlis perasmian dan penyampaian Sijil Siap Kerja bagi pembinaan Sekolah Daif Fasa 1 Tahun 2018 Negeri Johor di Kluang, hari ini. FOTO Adnan Ibrahim
Mohamed Farid Noh
farid_noh@nstp.com.my


MASALAH kekurangan guru meruncing di bandar utama terutama di Johor dan Selangor berikutan ramai guru dalam perkhidmatan memilih kembali ke kawasan asal untuk bertugas.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, kos sara hidup tinggi di bandar besar dikenal pasti antara faktor menyebabkan ramai guru mahu kembali semula ke kampung halaman untuk mengajar.

Menurutnya, ramai guru, contohnya memohon keluar dari bandar besar untuk kembali bertugas di kawasan asal mereka termasuk Kelantan, Pahang dan Perlis.

Katanya, jika trend itu terus meningkat secara tidak langsung bakal menjejaskan sistem pendidikan negara.

“Kekurangan guru di bandar besar utama seperti Johor Bahru, Pasir Gudang dan Shah Alam kini serius berikutan ramai guru memohon untuk kembali bertugas di tempat asal mereka.

“Ia diburukkan dengan kurangnya permohonan guru untuk bertugas atau mengganti guru berpindah di kawasan kekurangan guru di bandar besar menyebabkan masalah kekurangan guru kian serius.

“Kementerian sedang meneliti kaedah penyelesaian terbaik masalah kekurangan guru ini termasuk beberapa inisiatif seperti meningkatkan elaun sara hidup guru yang bertugas di bandar besar,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata demikian selepas menyampaikan sijil siap kerja pembinaan sekolah daif Fasa 1 2018 negeri Johor di Kluang, hari ini.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan sijil siap kerja pembinaan bangunan baharu kepada 20 sekolah daif di Johor.

Sementara itu, Maszlee berkata, kementerian komited untuk menambah jumlah guru mengikuti Latihan Dalam Perkhidmatan bagi meningkatkan kualiti guru seluruh negara.

“Kementerian mahu melihat kerjaya guru terus dihormati dan dipandang tinggi seperti dahulu sehingga guru dianggap ikon penting yang menjadi rujukan masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 2:32 PM