Amrullah Abdul Karim
cnews@nstp.com.my

Bukit Beruntung: Seorang lelaki parah manakala seorang lagi cedera ringan apabila kereta dinaiki terbabit kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 426.4 Lebuhraya PLUS arah Kuala Lumpur, dekat sini, awal pagi semalam.

Kejadian jam 1.20 pagi itu membabitkan kereta Perodua Myvi dipandu Leong Wei Kang, 20, dan Toyota Hilux milik Muhammad Abu Hassan, 56, serta lori yang rosak di bahu jalan.

Dalam kejadian itu, Wei Kang tersepit di tempat duduk pemandu selepas kereta dipandunya melanggar belakang Toyota Hilux berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bak Phai berkata, ketika kejadian sebuah lori yang mengalami kerosakan enjin dari arah Ipoh, Perak, berhenti di lorong kecemasan.


ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan pemandu kereta Perodua Myvi yang tersepit akibat kemalangan di Bukit Beruntung.

“Pemandu Toyota Hilux yang datang membantu memberhentikan kenderaannya di belakang lori itu.

“Perodua Myvi yang dipandu di lorong tengah dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke lorong kecemasan dan melanggar belakang Toyota Hilux yang kemudian melanggar belakang lori.

“Dalam kemalangan ini, pemandu Perodua Myvi mengalami kecederaan parah iaitu patah kaki kanan dan dirujuk ke Hospital Sungai Buloh,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, pemandu Toyota Hilux yang berasal dari Kampung Melayu Batu 16 Rawang, hanya cedera ringan.

Katanya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu Penolong Penguasa Bomba Kamil Hamadan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 1.23 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 3:47 AM