KEADAAN kenderaan terbabit nahas yang meragut nyawa Nor Fazlina.
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my

Kota Bharu: Seorang pelajar tingkatan enam yang dalam perjalanan untuk menduduki Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Raja, maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Lati, Pasir Mas, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, dua lagi mangsa turut cedera.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, mangsa Nor Fazlina Ismail, 19, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, patah kaki kiri dan kanan.

Katanya, mangsa menaiki kereta Perodua Kancil dipandu ayahnya, Ismail Iyasok, 59, dari arah Pasir Mas menghala ke Lubok Jong di sini.

“Siasatan polis mendapati kenderaan mangsa dari arah Pasir Mas menghala ke Lubok Jong. Pada masa yang sama dua kenderaan lain dari arah bertentangan iaitu Perodua Myvi yang dipandu penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berusia 23 tahun dan motosikal yang ditunggang pelajar tingkatan enam SMK Panglima Raja,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu ayah mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian depan Perodua Myvi.

“Akibatnya Perodua Kancil terbabas ke bahu jalan sebelah kanan dan bertembung motosikal jenis Yamaha ditunggang pelajar tingkatan enam,” katanya.

Katanya, mangsa yang maut dan cedera masing-masing dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat serta rawatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 3:22 AM