RUSLIN Hasan.
Nurul Fhatihah Zakinan dan Amir Mamat
news@nstp.com.my

Melaka: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) Datuk Seri Ruslin Hasan meletak jawatan berkuat kuasa semalam, selepas 50 hari dilantik ke jawatan itu.

Menerusi surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Roslan Ibrahim bertarikh 19 Julai, Ruslin turut melepaskan jawatan sebagai pengerusi dan ahli lembaga pengarah beberapa anak syarikat PKNM, selain membayar balik gaji yang diterima berjumlah RM25,891.

Berdasarkan surat penjelasan peletakan jawatan yang kini tular di media sosial, bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur itu dikatakan terguris hati dengan seorang ahli Exco yang memperlekeh dan memperkecilkan beliau di hadapan pegawainya dalam beberapa mesyuarat sejak bulan lalu.

Katanya, Exco terbabit juga kerap mempertikaikan ketidakhadirannya pada mesyuarat berkenaan sedangkan komitmen beliau adalah dengan menghadiri mesyuarat Sub-Exco Kewangan, Tanah, Hal Ehwal Ekonomi dan Hal Ehwal Agama Islam yang dipengerusikan Roslan, selain bertanggungjawab secara langsung kepada Ketua Menteri Adly Zahari.

“Oleh yang demikian, seorang Timbalan Ketua Eksekutif dan Pegawai Kanan PKNM dihantar mewakili jabatan ke mesyuarat Sub-Exco yang dipengerusikan ahli Exco terbabit.

“Segala perbincangan dan keputusan daripada mesyuarat berkenaan akan dilaporkan dalam Mesyuarat Peringkat Tertinggi di PKNM yang dipengerusikan saya sendiri sebagai CEO. Perbincangan segera juga dilakukan sekiranya memerlukan tindakan serta merta sebaik mesyuarat Sub-Exco itu selesai,” katanya.

Beliau berkata, isu kehadirannya dalam mesyuarat berkenaan adalah tidak relevan kerana jabatan diwakili oleh timbalannya serta seorang pegawai kanan.

“Saya tidak nampak di mana Prosedur Operasi Standard (SOP), peraturan pejabat atau undang-undang yang ada menyebut seorang CEO dimestikan hadir dalam mesyuarat Sub-Exco berkenaan, malah, apabila disemak mesyuarat semasa kerajaan terdahulu, CEO bukanlah dimestikan tetapi boleh dihadiri oleh wakil saja.

“Pada pandangan saya, perkara yang dibangkitkan ahli Exco terbabit adalah isu petty, beliau tidak faham tugas dan peranan Exco dalam konteks pengurusan PKNM,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penerimaan jawatan CEO PKNM sebelum ini bukanlah atas dasar permohonan, sebaliknya ditawarkan untuk mengajar dan membimbing PKNM dalam tempoh enam bulan.

Ruslin dilantik sebagai CEO PKNM pada 1 Jun lalu menggantikan Datuk Azmi Hussien yang dinaikkan pangkat sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Ruslin dipilih sebagai calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau dalam Parlimen Masjid Tanah. Beliau bagaimanapun tewas kepada calon BN, Datuk Amirudin Yusof dengan majoriti 1,479.

Ketika dihubungi, Ruslin mengesahkan surat peletakan jawatan berkenaan.

Sementara itu, Adly ketika ditemui NSTP berkata, satu pertemuan rundingan akan diadakan bersama Ruslin bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu peletakan jawatannya, dan menyemak isi kandungan surat berkenaan, Isnin ini.

“Kita akan lihat surat itu, mungkin Isnin ini dan antara usaha (penyelesaian) saya sendiri akan berunding dengan Datuk (Seri) Ruslin menggunakan kaedah rundingan bagi mendapatkan penjelasan isu berbangkit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 3:08 AM