Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@nstp.com.my


SENARAI barangan dimuat naik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), kelmarin yang dikecualikan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), masih dalam peringkat cadangan untuk maklum balas orang awam.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, maklum balas itu bagi menentukan sama ada perlu untuk memasukkan atau menggugurkan mana-mana item daripada senarai barangan yang tersenarai untuk dikecualikan daripada SST.

“Di antara barang-barang yang tersenarai untuk pengecualian adalah ‘big-ticket items’ seperti kapal terbang, kapal mewah, feri penumpang, helikopter, kapal angkasa dan peralatan luncur salji.

“Sungguhpun senarai yang dikeluarkan oleh JKDM hanyalah cadangan, namun Kementerian Kewangan berpandangan adalah perlu bahawa barangan mahal yang juga mewah yakni ‘big-ticket items’ haruslah dikenakan cukai SST,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Guan Eng berkata, sebagai Kerajaan Persekutuan yang komited untuk bercakap benar berdasarkan fakta dan angka, beliau bersedia menyatakan bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mungkin lebih telus dan efisien berbanding SST.

Katanya, hal itu kerana GST berjaya dikenakan ke atas lebih ramai pembayar cukai, termasuk orang biasa hingga berjaya mengutip cukai sebanyak RM44 bilion berbanding dengan RM21 bilion yang dikutip oleh SST.

“Maka lebihan RM23 bilion daripada GST ini membebankan rakyat sehingga kos sara hidup mereka terjejas.

“GST lebih efisien dan telus apabila ia dikenakan ke atas 60 peratus daripada Bakul Barangan CPI berbanding dengan hanya 38 peratus daripada Bakul Barangan CPI oleh SST.

“Dengan penggantian GST kepada SST, maka RM23 bilion yang dikutip daripada GST akan dikembalikan kepada rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 4:47 PM