DARI kiri Munirah, 32, Intan Masyitah, 31, Zuraini Abas, 58 (Ibu) Mohd Murad Ishak, 58 (bapa), Intan Nuruhuda, 25, dan Intan Nurul Iman, 21, bergambar sebelum mendaftar masuk di Kompleks Tabung Haji Sepang
Samadi Ahmad
cnews@nstp.com.my

Sepang: Hajat suami isteri, Mohd Murad Ishak, 58, dan Zuraini Abas, 58, menunaikan ibadat haji bersama semua anaknya termakbul apabila mereka terpilih menunaikan rukun Islam kelima itu pada tahun ini.

Murad berkata, 20 tahun lalu, dia bersama isteri berpeluang menunaikan haji kali pertama dan sekembali ke tanah air mereka terus mendaftar semula dengan Tabung Haji (TH) untuk pergi bersama anak-anak.

Pesara kerajaan yang menetap di Kelana Jaya itu berkata, sewaktu mendaftar, dia memasang niat membawa semua anaknya mengerjakan haji dan doanya dimakbulkan Allah.

“Sebagai ketua keluarga sudah pasti kami inginkan yang terbaik untuk anak-anak, jadi selepas mereka lahir, saya sudah membuka akaun TH masing-masing supaya setiap wang dikumpulkan oleh mereka boleh disimpan,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji di sini, semalam.

Selain isteri, Murad berangkat ke Tanah Suci bersama empat anak perempuan mereka, Intan Munirah, 32, Intan Masyitah, 31, Intan Nuruhuda, 25 dan Intan Nurul Iman, 21.

Murad berkata, banyak kebaikan dapat mengerjakan ibadat haji bersama keluarga kerana masing-masing boleh mengingatkan antara satu sama lain berkenaan rukun haji sekiranya terlupa atau melanggar peraturan.

Katanya, kehadiran anak-anak juga dapat membantu memantau kesihatan mereka berdua sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diduga.

Sementara itu, Zuraini berkata, amalan menabung itu sudah dilakukan sejak anak mereka lahir kerana baginya simpanan dalam TH penting kerana semua orang mahu ke Tanah Suci untuk menyempurnakan rukun Islam kelima itu.

Zuraini yang juga pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berkata, mereka mendisiplinkan anak-anak sejak dari awal untuk menabung melalui baki wang belanja sekolah, duit raya dan insentif kecemerlangan sekolah.

Menurutnya, wang yang disimpan itu tidak pernah dikeluarkan, mulanya memang terasa susah, namun lama-kelamaan ia menjadi kebiasaan dan rutin bulanan untuk menyimpan.

“Pemergian ke Tanah Suci kali ini cukup bermakna kerana semua anak-anak dapat turut bersama serta berharap kami dapat menyempurnakan ibadat dengan sempurna dan kembali ke tanah air dengan selamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 11:46 AM