Gambar hiasan.
Noorazura Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my

JABATAN Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) berjaya melumpuhkan kegiatan sindiket penebangan hutan secara haram di empat hutan simpan kawasan Ulu Muda, Tanjung Pari, Baling dekat sini, Selasa lalu.

Jurucakap JPNK berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota dan pegawai hutan daerah Kulim telah melakukan serbuan ke lokasi terbabit pada jam 5.30 petang.

“Serbuan diketuai Pegawai Hutan Daerah Kedah Selatan, Mohd Faisal Nasaruddin berjaya menyita pelbagai jenis jentera digunakan sindiket dalam kegiatan mereka bersama 15 batang balak bernilai RM60,000 turut dirampas.

“Ketika serbuan, beberapa suspek bertindak melarikan diri ke kawasan hutan dan gagal ditahan. Siasatan mendapati mereka hanya memilih dan mencuri kayu berkualiti di kawasan hutan yang diteroka hampir 10 hektar,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak tiga minggu lalu, dan hanya aktif pada hari cuti hujung minggu dan cuti umum bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Kayu balak yang dicuri akan diangkut pada waktu awal pagi dan dijual kepada kilang kecil di sekitar daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang.

“JPNK telah mengenal pasti beberapa suspek hasil siasatan yang dilakukan bersama polis, tindakan seterusnya adalah untuk mengenal pasti lokasi persembunyian mereka sebelum tangkapan dilakukan,” katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 (Pindaan 1993) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 20 tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 10:14 AM