GAMBAR hiasan
Asmah Rusman dan Seri Nor Nadiah Koris
cnews@nstp.com.my


MINUMAN kegemaran rakyat Malaysia iaitu teh tarik tidak mengalami kenaikan harga sekiranya Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan September ini selepas produk susu dan teh dikecualikan cukai berkenaan.

Selain susu dan teh barangan keperluan asas lain seperti sardin, kopi, sos cili, sos tomato, bijirin, dadih, sri kaya, marjerin, biskut, roti dan kek turut diberikan pengecualian cukai SST.

Senarai itu dikeluarkan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Sri T Subromaniam dalam sidang media pada sesi taklimat penerangan pelaksanaan SST bersama industri di Auditorium JKDM Kuala Lumpur, Kelana Jaya, hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa senarai penuh barangan dan perkhidmatan itu sudah dimuat naik dalam portal Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan ditukarkan kepada portal SST selepas ini.

Menerusi senarai berkenaan, bahan mentah yang menjadi keperluan utama pengguna termasuk lembu, kambing, ikan dan ayam selain sayuran turut diberikan pengecualian.

Subromaniam berkata, penetapan kadar cukai SST terhadap barangan dan perkhidmatan sememangnya mengambil kira kepentingan pengguna khususnya golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

“Kadar cukai SST juga ditentukan pada kadar sifar, lima dan 10 peratus bagi barangan manakala enam peratus bagi perkhidmatan,” katanya.

Pengecualian itu turut menyenaraikan pelbagai bahagian alat ganti kereta seperti aksesori, pam bahan api dan injap.

Di bawah kategori itu turut disenaraikan pembelian motosikal kurang daripada 250 cc dan basikal.

Pengecualian cukai SST juga diberikan kepada golongan nelayan bagi pembelian bot selain pembelian traktor dan baja oleh petani yang mana sebelum ini dibebani dengan GST.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam sidang media di Parlimen berkata, SST merangkumi 38 peratus daripada bakul Barangan dan Perkhidmatan CPI (Indeks Harga Pengguna) manakala GST merangkumi lebih 60 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 7:49 PM