Munusamy (kanan) menunjukkan gambar suspek.
Faris Fuad
faris.fuad@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Dua lelaki warga Myanmar dikenali sebagai Ali dan Farouk menjadi buruan utama polis selepas dikenal pasti merompak dan menikam seorang peniaga durian hingga cedera parah.

Suspek dikenal pasti sebagai pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menghilangkan diri sebaik menyerang mangsa di Pusat Bandar Utara di sini, pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata, suspek masing-masing dikenali sebagai Farouk dan Ali berusia lingkungan 20-an.

“Polis sedang giat mengesan dua suspek terbabit. Kami juga akan memanggil beberapa individu yang pernah membuat laporan polis membabitkan suspek berkenaan.

“Mereka akan membantu pengecaman berdasarkan gambar suspek yang ditunjukkan polis,” katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai penganggur mengikut siasatan awal polis.

“Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan suspek digesa tampil ke IPD Sentul bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam kejadian itu, seorang peniaga durian cedera parah akibat ditikam bertubi-tubi menggunakan pemutar skru oleh ‘geng Myanmar’ yang cuba merompak wang hasil jualannya.

Mangsa berusia 23 tahun diserang tiga suspek warga asing di hadapan sebuah kedai jual kereta terpakai berhampiran di pusat bandar utara, di sini.

Mangsa ditikam di belakang tubuh, pinggang dan dagu oleh penjenayah. Seorang suspek ditahan polis yang kebetulan melihat insiden itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 10:43 AM