BOMBA membantu mengeluarkan mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Faliq Lajim
cnews@nstp.com.my


BERPANTANG maut sebelum ajal. Itu dapat menggambarkan nasib seorang pekerja penyelenggaraan apabila separuh tubuhnya terbenam selepas terjatuh ke dalam lubang di Taman Alam Perdana, Puncak Alam, Shah Alam, hari ini.

Bagaimanapun, pada kejadian 4.30 petang itu, lelaki berusia 45 tahun terbabit terselamat meskipun mengalami kecederaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.39 petang.

Beliau berkata, susulan itu, seramai 10 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Ketika sampai di lokasi, pihak kami mendapati terdapat seorang lelaki terjatuh ke dalam lubang sedalam kira-kira dua meter yang digali bagi tujuan penyelenggaraan paip.

“Anggota kami kemudian membawa mangsa keluar dari lubang berkenaan menggunakan pengusung.

“Proses membawa keluar mangsa mengambil masa kira-kira 40 minit berikutan kaki mangsa terbenam di dalam tanah. Kita juga memberi bantuan pernafasan ketika membawa mangsa naik berikutan beliau mengadu sesak nafas," katanya.

Mohd Rizal berkata, mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 11:08 PM