Wartawan NSTP
cnews@nstp.com.my


DUA syarikat yang mengendalikan projek Multi-product Pipeline (MPP), Trans-sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Menurut sumber, serbuan dilakukan di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang bermula kira-kira jam 10 pagi.

SPRM mengesahkan serbuan itu, bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat lanjut.

"Ya, kita ada lakukan serbuan. Satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat," katanya.

Pada 5 Julai lalu, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan menggantung kerja dan perkhidmatan Projek Suria Synergy Energy Resources Sdn Bhd (SSER), yang diberi mandat melaksanakan projek MPP dan TSGP bernilai RM9.4 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kontrak bagi projek MPP dan TSGP dianugerahkan kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) pada 1 November 2016.

SSER dikatakan sudah membuat bayaran sebanyak RM8.3 bilion ataupun 88 peratus daripada kos pembinaan RM9.4 bilion, sungguhpun kemajuan kerja (yang belum diaudit) dianggarkan pada tahap 13 peratus.

Kontrak SSER bernilai RM9.4 bilion ini belum lagi mengambil kira kos perjanjian pengambilalihan tanah, dua perjanjian perundingan pakar, dan satu perjanjian penyelenggaraan yang bernilai RM1.7 bilion.

Projek ECRL iaitu projek landasan kereta api dari Pelabuhan Klang dan tamat di Pengkalan Kubor, Kelantan mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada 2016 dan 2017, di mana China Communications Construction Company (CCCC) dilantik sebagai kontraktor utama.

Kos keseluruhan sebenar projek itu dijangkakan mencecah RM81 bilion, termasuk kos pengambilalihan tanah dan faedah pinjaman semasa pembinaan projek.

Selepas mendapat pandangan Jabatan Peguam Negara, Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Kewangan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), untuk mengeluarkan "Notis/Arahan Penggantungan Kerja dan Perkhidmatan" semua kontrak berkaitan dengan MPP, TSGP, ECRL kepada pihak-pihak kontraktor pada 3 Julai 2018.

Notis penggantungan ini berkuat kuasa serta-merta sehingga notis selanjutnya dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 7:48 PM