MESEJ diterima mangsa menerusi WhatsApp dari agen pelancongan berhubung syarikat berkenaan bagi menyakinkan pelanggan.
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Impian 56 individu melancong ke luar negara termasuk ke beberapa destinasi popular di Korea Selatan dan Eropah lebur selepas mendakwa diperdaya sebuah syarikat pelancongan.

Mangsa menyedari diperdaya selepas gagal berhubung dengan wakil syarikat terbabit, ketika mahu mendapatkan perkembangan mengenai jadual perjalanan percutian masing-masing berikutan majoriti sudah menjelaskan deposit.

Menambah lagi curiga dalam kalangan mangsa apabila pemeriksaan dilakukan mereka mendapati premis syarikat yang beroperasi di Mont Kiara di sini, ditutup dan dikosongkan sejak bulan lalu.

Selain itu mangsa mendakwa laman web dikendalikan syarikat berkenaan yang mempromosikan pakej percutian ke destinasi popular antarabangsa pada harga menarik juga tidak boleh diakses.

Wakil mangsa, Wan Ritaelfera Wan Rusli, 28, berkata, setakat ini jumlah kerugian dialami mereka termasuk dirinya dan suami dianggarkan melebihi RM300,000.

Menurutnya, dia dan suami mengunjungi gerai syarikat terbabit yang mengambil bahagian pada pameran anjuran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di ibu kota, Mac lalu.

Dia yang kebingungan cuba mengesan wakil syarikat berkenaan menggunakan pelbagai cara termasuk menerusi carian Internet sebelum terbaca forum di sebuah blog mengenai pengakuan mangsa mendakwa diperdaya syarikat sama.

“Menerusi perkongsian maklumat mangsa lain mendakwa mereka juga sudah membuat bayaran untuk tempahan pakej percutian ke Korea Selatan, Paris dan London dijadualkan antara September hingga Disember depan.

“Semua mangsa sudah buat laporan, tapi saya yakin ramai lagi belum tampil. Berikutan itu saya harap mereka yang berkenaan sertai kami dan buat laporan dengan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 10:33 AM