Anggota bomba bertungkus-lumus menyelamatkan kucing yang gagal turun dari pokok kelapa. FOTO Ihsan Bomba
Balqis Jazimah Zahari
cnews@nstp.com.my

ANGGOTA bomba menyelamatkan kucing yang terperangkap selama 15 jam di atas pokok kelapa setinggi enam meter di Jalan Karai Kampung Periang di Sungai Siput, tengah malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput, Suhaimi Ab Samad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 11.03 malam.

Katanya, setibanya jentera di lokasi kejadian didapati seekor kucing di atas pokok kelapa tapi gagal turun berdekatan rumah penduduk.

“Anggota menggunakan tangga untuk menurunkan kucing berkenaan.

“Operasi mengambil masa agak lama kerana kami terpaksa menggugurkan buah kelapa yang banyak terlebih dahulu sebelum menyelamatkan kucing yang terperangkap betul-betul di pucuk pokok kelapa,” katanya

Suhaimi berkata, menurut pemilik kucing berkenaan, kucingnya itu sudah terperangkap di atas pokok berkenaan selama lebih 15 jam.

Katanya, keseluruhan operasi tamat pada jam 12.58 tengah malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 9:16 AM