ANGGOTA bomba dan orang ramai mengangkat bumbung runtuh menyebabkan seorang pekerja kilang meninggal dunia manakala seorang lagi cedera ringan dalam kejadian ribut di Jalan Gunung Keriang, Alor Setar, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Zuliaty Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


PEKERJA kilang perabot di Jalan Gunung Keriang, Alor Setar, maut selepas ditimpa runtuhan bumbung kilang ketika ribut melanda kawasan berkenaan, petang hari ini.

Dalam kejadian 4 petang itu, hujan lebat dan ribut melanda kawasan sekitar Gunung Keriang hingga menyebabkan kerosakan teruk kepada rumah penduduk berdekatan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata ketika kejadian, mangsa Johari Zakaria, 60, sedang bekerja bersama seorang rakannya sebelum berlaku runtuhan pada struktur bumbung kilang berkenaan.

Katanya, mangsa yang gagal melarikan diri meninggal dunia akibat parah pada bahagian badan dan kepala, manakala seorang lelaki pekerja hanya cedera ringan.

“Mangsa yang meninggal dunia menetap di Kampung Padang Lalang, manakala seorang lagi masih belum dikenali identitinya.

“Mereka adalah pekerja kilang perabot berkenaan dan mangsa cedera dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Firdaus Daud, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian runtuhan bumbung kilang pada 4.54 petang.

Beliau berkata, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dikejarkan ke lokasi dan memulakan operasi mencari dan menyelamat dua mangsa terperangkap di bawah runtuhan.

“Tindakan segera dilakukan anggota bomba adalah mengeluarkan mangsa tersepit di bawah runtuhan bumbung.

“Seorang mangsa dapat diselamatkan dan hanya cedera ringan manakala seorang lagi mangsa disahkan meninggal dunia akibat parah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 8:33 PM