MARIAM. FOTO Arkib NSTP
Oleh Ayusliza Azizan
cnews@nstp.com.my


BALU juruterbang MH17, Mariam Yusof, mahu kerajaan bersikap adil terhadap semua waris mangsa dan tidak mengamalkan sikap pilih kasih.

Wanita itu berkata, beliau kesal keluarganya diketepikan terutama selepas sejumlah pampasan sudah diserahkan kepada waris kru kabin serta penumpang pesawat malang dalam tragedi MH17, namun mengabaikan juruterbangnya.

“Sudah empat tahun tragedi nahas MH17 berlalu, namun masih belum ada keadilan untuk waris mangsa.

“Seperti tiada apa yang terjadi. Perkara ini (nahas MH17) berlaku bukan kehendak kami. Sekiranya kerajaan mahu memberikan pampasan, ia perlulah diberikan sama rata kepada semua mangsa termasuk waris juruterbang,” katanya kepada NSTP.

Mariam berkata, terdapat beberapa kru dan penumpang sudah terima wang pampasan dan ada juga belum menerimanya, namun bagi pihak suaminya, Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin, kerajaan terdahulu tidak menawarkan wang pampasan.

Dia merasakan tindakan itu seperti tiada penghargaan daripada Kerajaan Persekutuan selepas apa yang berlaku kepada suaminya yang terbabit dalam nahas berkenaan.

Kata Mariam, pihaknya kini hanya menerima bayaran berdasarkan Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Persatuan Juruterbang Malaysia Airlines (MAPA) dan Malaysia Airlines (MAS), iaitu hak yang sepatutnya diterima dan bukan pampasan.

“Saya juga ingin apa yang kerajaan terdahulu beri (pampasan)? Kalau nak beri, berilah untuk semua orang. Kerajaan baharu di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) diharap memberi sinar harapan baharu untuk kami waris mangsa dan moga dapat selesaikan kes ini.

“Sebelum ini kami semua tidak diberitahu mengenai siasatan kes MH17, seolah-oleh tiada apa terjadi,” katanya.

Dia juga kesal kerana empat tahun selepas kejadian yang mengubah kehidupannya sekeluarga itu berlaku, tahun ini tiada lagi acara memperingati peristiwa tragedi nahas MH17 diadakan, seolah-olah ia sudah dilupakan.

Ibu kepada dua cahaya mata itu kini sibuk dengan memenuhi kegiatan harian dengan mengikuti kelas mengaji al-Quran di masjid serta kelas bahasa Arab.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 8:13 PM