Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


LELAKI dipercayai dalang sindiket penipuan yang menawarkan pakej umrah tidak wujud sehingga mengakibatkan kerugian RM139,871 di Pahang ditahan polis, di Rawang, Selangor, hari ini.

Suspek berusia 40 tahun ditahan di Pangsapuri Birchwood Court Pinggiran Lembah Hijau 9, Bandar Tasik Puteri, Rawang oleh sepasukan anggota polis dalam serbuan jam 8.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, polis menerima sebanyak 21 laporan berkaitan penipuan berkenaan yang dilakukan oleh suspek sepanjang tahun lalu.

“Ia membabitkan kerugian sebanyak RM139,871. Suspek yang bekerja sendiri akan dibawa ke Mahkamah Temerloh esok untuk perintah reman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, syarikat terbabit dipercayai membuat taklimat dan penerangan pakej ditawarkan di Balai Raya FELDA Lakum, Temerloh pada 11 Mei tahun lalu.

“Mereka didakwa menawarkan dua pakej umrah, iaitu pakej cuti sekolah dan pakej hari biasa. Ramai peneroka dipercayai terpedaya dengan tawaran diberikan.

“Suspek yang mendakwa sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan dipercayai memberi penerangan kepada penduduk di tanah rancangan berkenaan sebelum ada yang memilih untuk menyertai pakej cuti sekolah yang berharga RM7,550 seorang,” katanya.

Mohd Wazir berkata, seorang daripada mangsa berusia 50 tahun mendakwa kerugian RM19,364 selepas membayar pakej untuk tiga orang termasuk ibu dan anaknya.

“Mangsa membuat beberapa kali transaksi pembayaran secara serahan tangan dan ada juga memasukkan wang ke dalam akaun bank dan jumlah keseluruhan yang pengadu bayar kepada syarikat tersebut ialah sebanyak RM19,364.

“Selepas membuat pembayaran penuh, syarikat terbabit membuat penundaan tarikh dari semasa ke semasa sehingga tarikh terakhir ialah pada 17 Disember tahun lalu. Mangsa menyedari ditipu lalu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 6:53 PM