DAUD. FOTO Arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my


BIARPUN empat tahun sudah berlalu, ingatan Daud Abdul Kadir terhadap cucunya, Ahmad Hakimi Hanapi, yang juga pembantu juruterbang ketika nahas Malaysia Airlines (MAS) MH17, tidak pernah hilang.

Daud yang berusia 84 tahun, berkata segala-gala mengenai cucu kesayangannya masih segar dalam ingatan mereka sekeluarga.

“Hari ini genap empat tahun kami kehilangan Ahmad Hakimi. Seperti biasa tahun ini atau tahun seterusnya tiada beza buat kami kerana yang pergi tidak akan kembali.

“Namun sejak kejadian itu pada 2014, doa saya terhadap arwah setiap kali solat tidak pernah dilupakan kerana arwah lahir di rumah saya dan amat rapat dengan kami. “Majlis tahlil juga sering diadakan setiap kali kami semua berkumpul. Kami sentiasa positifkan diri dan hanya mengharapkan arwah ditempatkan dalam kalangan insan yang soleh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Daud berkata, berhubung pampasan yang sehingga kini masih belum selesai, mereka sekeluarga tidak mahu berharap.

“Bagi kami sekiranya ada rezeki arwah untuk anak, isteri dan keluarganya, maka dapatlah pampasan itu.

“Kita tengoklah mungkin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mampu melakukan sesuatu sehingga pampasan itu berjaya diperoleh,” katanya.

Dalam kejadian itu, pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines ditembak di ruang udara wilayah konflik di timur Ukraine pada 17 Julai 2014, ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Seramai 298 penumpang dan anak kapal kebanyakannya dari Belanda terbunuh selain 17 warga negara lain termasuk Malaysia, Australia, Britain dan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 6:27 PM