POK Tar menjadi peraih durian utama di Jerantut sejak 10 tahun lalu dan mampu menjual sekitar 700kg hingga 1,000kg sehari di pusat pengumpulannya di Pekan Damak. FOTO Nazirul Roselan.
Nazirul Roselan
cnews@nstp.com.my


WALAUPUN tidak mampu berjalan seperti orang lain sejak dilahirkan 60 tahun lalu, situasi itu tidak mematahkan semangat orang kurang upaya (OKU), Abdul Mutalib Mamat untuk menjadi satu-satunya peraih durian utama di daerah Jerantut.

Walaupun kedua-dua belah kakinya cacat dan hanya mampu mengengsot, ia bukan penghalang untuk warga emas berusia 60 tahun itu menjadi peraih dan pembekal durian utama di pekan Damak, Jerantut.

Beliau yang dikenali dengan panggilan ‘Pok Tar’ dalam kalangan pekebun dan penduduk mula menjadi peraih dan pembekal durian sejak 10 tahun lalu.

Musim raja buah ketika ini menjadikan Pok Tar dicari pekebun, peniaga dan orang ramai untuk mendapatkan buah durian segar dan berkualiti.

“Sejak dua minggu lalu, pusat pengumpulan ini mula jadi tumpuan orang ramai dan keadaannya seperti pasar borong.

“Pekebun datang jual buah di sini, peniaga pula datang untuk beli, begitu juga orang ramai datang membawa bersama keluarga atau rakan untuk menikmati durian,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Pok Tar berkata, beliau turut menggajikan enam orang sebagai pembantunya, sekali gus melancarkan urusan perniagaannya.

“Setiap hari, pusat ini akan sesak dengan urusan durian keluar dan masuk bermula 7 pagi hingga 10 malam.

“Ada masa saya tidak sempat nak makan sebab layan pelanggan dan pelanggan sudah faham keadaan saya yang tak sempurna ini,” katanya.

Setiap kali tibanya musim durian, beliau mampu memperoleh pendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000 sehari dengan anggaran 700 kilogram (kg) hingga 1,000kg durian dijual sehari.

Pok Tar yang menetap di Kampung Damak turut menerima tempahan buah durian daripada pelbagai pihak termasuk golongan VIP dan agensi kerajaan di sekitar Pahang dan Lembah Klang.

“Saya terima macam-macam jenis durian seperti durian kampung, durian klon dan Musang King yang dihantar penduduk kampung, Orang Asli dan pekebun.

“Harga durian kampung RM2 hingga RM5 sekilogram, durian klon RM6 hingga RM12 manakala durian Musang King pula antara RM25 hingga RM30 sekilogram,” katanya.

Selain durian, Pok Tar turut menjadi peraih kepada buah-buahan tempatan lain seperti pisang, manggis, dokong, rambutan dan petai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 5:55 PM