SEBAHAGIAN dadah yang dirampas dalam serbuan di pusat hiburan di Shamelin, Cheras, Kuala Lumpur, semalam. FOTO ihsan polis.
Teoh Pei Ying
cnews@nstp.com.my


SERAMAI 99 individu ditahan dalam serbuan di pusat hiburan di Shamelin, Cheras, Kuala Lumpur, semalam selepas didapati positif dadah.

Operasi Pusat Hiburan itu dilakukan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) bermula 4.30 pagi hingga 7 malam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Cheras Superintendan Kamal Khan Mohd Shariff berkata, seramai 134 individu termasuk 38 warga asing berusia 18 hingga 40 tahun diperiksa dalam operasi itu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 98 individu ditahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, seorang ditahan mengikut Seksyen 12 (2) akta sama kerana memiliki dadah, selain empat wanita warga Vietnam yang ditahan mengikut Seksyen 39b Peraturan Imigresen 1963.

“Seramai 98 individu didapati positif dadah methaphetamine dan ketamin. Siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi mengenal pasti lokasi bekalan dadah diperolehi.

“Pemeriksaan di bilik kawalan pusat hiburan itu menemui pelbagai jenis dadah bernilai RM13,600 termasuk serbuk ekstasi, kanabis, ketamin dan pil Eramin 5 yang disembunyikan di dalam pembesar suara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kamal berkata, pusat hiburan itu pernah diserbu empat kali sebelum ini pada 2017 dan 2018.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, pusat hiburan itu ditutup, namun beroperasi semula bulan lalu dengan pengurusan baru.

“Maklumat diperoleh daripada orang awam dan pihak polis akan sentiasa membuat risikan serta pemantauan bagi memastikan pusat pusat hiburan di sekitar ibu kota ini tidak menjadi sarang pengedaran dadah dalam usaha membendung masalah sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 8:41 PM