TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu. FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


BOMOH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas tiga tuduhan merogol pesakitnya ‘kononnya’ untuk menghindarkan mangsa dan keluarga ditimpa bencana, Jun lalu.

Tertuduh, Leong Lai Keong, 52, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mendorong mangsa berusia 41 tahun merelakan diri dirogol untuk mengelakkan wanita itu dan keluarganya ditimpa bencana di hotel di Kota Bharu pada 4.30 pagi, 22 Jun lalu.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa mengulangi kesalahan sama di tokong di Kota Bharu pada 23 Jun dan 29 Jun lalu.

Semua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 375 (c) Kanun Keseksaan yang dihukum mengikut Seksyen 376 (1) kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kesalahan serius.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dibenarkan terhadapnya.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 16 Ogos ini untuk sebutan kes bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa.

Akhbar NSTP sebelum ini melaporkan suri rumah didakwa dirogol ketika pergi berubat untuk membuang sial dengan seorang bomoh di sebuah rumah ibadat di Kota Bharu, Jun lalu.

Kejadian berlaku ketika mangsa berubat di tempat berkenaan selepas diarahkan lelaki itu untuk bermalam sebelum diminta melakukan hubungan seks kononnya untuk membuang sial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 3:37 PM