Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@nstp.com.my


“MY name is Anwar Ibrahim. I am back and I am in charge (Nama saya Anwar Ibrahim. Saya kembali dan akan memimpin).”

Ayat itu adalah bayangan pertama diberi Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pemimpin dan wakil rakyat PKR berhubung kesediaan mengemudi parti itu sebagai Presiden, ketika berucap dalam pertemuan pertamanya dengan pimpinan dan wakil rakyat parti pada 6 Jun lalu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata keputusan Ketua Umum PKR itu bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti bermula hujung bulan depan bukan kejutan, sebaliknya pengumuman yang ditunggu-tunggu setiap anggota PKR.

Saifuddin menjangkakan Anwar akan menang tanpa bertanding pada pemilihan parti, berdasarkan kepada sokongan akar umbi dari seluruh negara sejak pengumuman itu dibuat.

Jika terpilih, katanya, Anwar berdepan cabaran lebih besar kerana bakal memimpin parti yang sudah menjadi kerajaan, berbanding ketika Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi Presiden.

“Dr Wan Azizah memimpin PKR sebagai pembangkang selama 20 tahun, dari kosong hingga menjadi kerajaan dengan 50 daripada 124 Ahli Parlimen PH (Pakatan Harapan) dan Parti Warisan Sabah adalah daripada PKR, selain kini memiliki lebih 900,000 ahli.

“Anwar pula bersedia mengambil alih ketika PKR sudah menjadi kerajaan, maka cabarannya lebih besar kerana agenda mengisi kemenangan jauh lebih sukar,” katanya.

Ditanya sama ada Anwar mampu membawa PKR lebih jauh sebagai kerajaan berbanding Dr Wan Azizah, Saifuddin menegaskan rekod Timbalan Perdana Menteri itu membuktikan kemampuannya memimpin parti.

“Ia tidak bermaksud Dr Wan Azizah kurang mampu berbanding Anwar, tapi ini lebih kepada kesinambungan kepemimpinan. Tidak adil untuk kedua-duanya dibanding begitu,” katanya.

Saifuddin berkata, kepemimpinan Anwar sebagai Presiden akan memperkukuhkan parti, meningkatkan kestabilan dan perpaduan ahli serta melonjakkan profil PKR dalam Pakatan Harapan (PH), khususnya sebagai parti yang serius dalam arena politik Malaysia.

“Anwar mengambil hampir 20 tahun membuat keputusan ini, bermula PKR ditubuhkan pada April 1999, dengan kira-kira 10 tahun beliau berada dalam penjara.

“Sekarang beliau sudah bebas dan berpeluang menterjemahkan idealisme jika terpilih menjadi Presiden PKR,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Saifuddin berkata, sentuhan kepemimpinan Anwar konsisten walaupun pernah dipenjarakan kerana pandangan ahli politik itu kerap menjadi panduan ketika parti berdepan detik sukar.

“Anwar memberi panduan menerusi ratusan nota dari penjara, antaranya ketika PAS memilih untuk meninggalkan Pakatan Rakyat, ketika berdepan RUU355 serta saat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu menyertai PH,” katanya.

Pemilihan PKR

* 27 Julai: penamaan calon jawatan peringkat pusat

* 28-29 Julai: penamaan calon jawatan peringkat cabang

* 24 Ogos: pengundian bermula selama sembilan minggu mengikut zon utara, tengah, selatan, timur, Sabah dan Sarawak

* Keputusan pemilihan diumumkan pada Kongres Nasional PKR, November ini

Berita berkaitan:

Anwar Ibrahim tanding Presiden

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 7:12 PM