GAMBAR hiasan
Saadiah Ismail
saadiah_ismail@bh.com.my


PENINGKATAN pesakit mental dalam kalangan penduduk di negara ini dilihat membimbangkan dan dijangka bertambah sekali ganda dalam tempoh 10 tahun lagi.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, berdasarkan laporan daripada Profesor Bersekutu Psikiatri, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), Dr Ng Chong Guan, seorang daripada tiga orang menghadapi masalah kesihatan mental dan angka ini semakin membimbangkan setiap tahun.

Katanya, isu kesihatan mental amat penting untuk ditangani ekoran pelbagai kes keganasan dan jenayah yang dilaporkan membabitkan mereka yang mengalami masalah mental.

“Justeru NIOSH akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membantu memperbaiki pelbagai aspek berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerja terutamanya dalam industri kesihatan.

“Antara perkara yang akan diberikan tumpuan adalah pengukuhan pelan pembangunan kesihatan mental, meningkatkan tahap perkhidmatan industri kesihatan dan menjaga keselamatan premis kesihatan seperti klinik dan hospital,” katanya dalam satu kenyataan.

Lam Thye berkata, kerajaan juga perlu mencari jalan untuk membuang stigma masyarakat terhadap penyakit mental supaya pesakit boleh dikenal pasti dan diberi rawatan pada peringkat awal.

“Sebuah pasukan khas harus diwujudkan untuk melaksanakan dan memantau keseluruhan strategi dalam pelan pembangunan kesihatan mental dan menyelaras usaha bersepadu menangani isu berkenaan.

“Selain itu, peruntukan yang mencukupi perlu disediakan untuk menangani masalah mental termasuk melatih lebih ramai kaunselor, ahli psikiatri dan psikologi serta mempromosi kesihatan mental dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Katanya, tahap perkhidmatan kesihatan awam juga perlu dipertingkatkan dengan penggunaan lebih banyak peralatan moden dan sistem teknologi maklumat terkini bagi mempercepatkan proses diagnosis penyakit serta mengurangkan masa menunggu.

“Aspek keselamatan premis kesihatan, terutamanya hospital dan klinik, juga perlu diberi perhatian kerana Jabatan Bomba dan Penyelamat menunjukkan masih terdapat premis kesihatan awam dan swasta yang tidak selamat dan berisiko tinggi untuk berlaku kebakaran.

“NIOSH bersedia membantu KKM meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam kalangan petugas kesihatan termasuk mengurangkan kes kemalangan berulang-alik ke tempat kerja.

"NIOSH melalui anak syarikat, NIOSH Certification Sdn Bhd juga mempunyai kepakaran dalam bidang audit keselamatan serta pengurusan KKP yang diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 5:52 PM