ANGGOTA pasukan IT Tabung Haji menyelia sistem rangkaian komputer di pejabat operasi TH Madinah di hotel Dar Al-Jefri.
Tuan Asri Tuan Hussein

JUMLAH anggota pasukan mereka paling kecil namun pasukan ini dianggap nadi kepada kelancaran serta kejayaan operasi haji pada setiap tahun. Malah, merekalah kelompok petugas Tabung Haji (TH) yang mula-mula sekali tiba di Madinah.

Mereka dimaksudkan ialah pasukan Teknologi Maklumat (IT) TH yang dianggotai 18 orang dan sudah berada di kota suci ini sejak 2 Julai lalu.

Pasukan itu yang dianggotai individu dengan pelbagai kepakaran berbeza seperti rangkaian, peralatan komputer dan aplikasi, dianggap nadi kerana merekalah yang bertanggungjawab membina rangkaian sistem perkhidmatan disediakan TH untuk bakal haji.

Antara yang utama ialah sistem komputer untuk penyimpanan dan pengeluaran wang yang membolehkan jemaah mengeluarkan wang hanya dengan menunjukkan tag pengenlan diri serta sistem yang menyimpan segala rekod perubatan jemaah haji.

Pengarah Operasi IT, Hanizam Hanif berkata, daripada 18 anggota pasukannya dua ditempatkan di Madinah, seorang di Jeddah manakala bakinya 15 lagi menumpukan operasi di Makkah.

Beliau berkata, pada musim haji tahun ini fokus utama pasukannya ialah menaik taraf infrastruktur dan talian rangkaian di beberapa lokasi penting yang menjadi pusat operasi penguruan TH.

"Antaranya ialah di ibu pejabat TH di Makkah iaitu di bangunan Abraj Al-Janadriyah dan bangunan Hospital Mubarak, selain pusat oeperasi TH di hotel Dar Al-Jefri di Madinah," katanya.

HANIZAM (tiga kanan) melihat anggota pasukan IT Tabung Haji memeriksa tahap perkhidmatan sisitem rangkaian komputer untuk tujuan pengurusan.

Selain itu, kata Hanizam, penambahbaikan juga dilakukan melalui kerjasama dengan syarikat telekomunisi tempatan seperti STC untuk memudahkan lagi urusan komunikasi jemaah haji dengan ahli keluarga di tanah air.

Ini termasuk pembukaan kaunter jualan kad sim prabayar STC hotel penginapan jemaah haji Malaysia di Madinah. Jemaah turut dibekalkan kad sim secara percuma dan hanya perlu membayar mengikut jumlah kredit di dalam kad sim itu atau untuk isian semula.

Bagaimanapun, di sebalik pelbagai kecanggihan teknologi disediakan pihaknya bagi memantapkan sistem telekomunikasi , Hanizam berharap jemaah haji tidak lalai dan leka dengan gajet mereka sehingga menjejaskan tumpuan serta fokus utama ke tanah suci iaitu untuk beribadah.

"Apa yang penting ialah berikan tumpuan sepenuhnya kepada urusan ibadah. Perkara lain seperti melayari Facebook, memuat naik pelbagai status di media sosial dan sebagainya letaklah ke tepi dulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 12:53 PM