ANWAR Ibrahim. FOTO arkib NSTP
Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@nstp.com.my


KETUA Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan menawar diri bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti itu yang bakal diadakan bulan depan.

Katanya, keputusan itu dimuktamadkan selepas berbincang dengan isterinya yang juga Presiden PKR ketika ini, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan barisan pimpinan yang lain.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu berkata, keputusan bertanding jawatan Presiden itu juga dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak serta akar umbi yang mahukannya menggantikan Dr Wan Azizah.

"Setelah berbincang dengan (Wan) Azizah, Timbalan Presiden dan kepimpinan, serta mengambilkira segenap pandangan dan keperluan demi kelangsungan KEADILAN, dengan penuh kesedaran atas prinsip iltizam bil jamaah, saya menawar diri untuk bertanding jawatan Presiden KEADILAN.

"InsyaAllah sekiranya mandat diperoleh daripada akar umbi parti seluruh negara, saya akan mengemudi parti selaku Presiden selepas selesai Kongres Nasional KEADILAN pada November 2018," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anwar berkata, desakan akar umbi parti yang mahukannya memimpin PKR sebagai Presiden sudah kedengaran sejak pemilihan parti itu pada 2007.

Bagaimanapun, Anwar mendakwa wujud sekatan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) ketika itu yang memungkinkan PKR terbubar jika beliau menjadi Presiden, sekali gus terpaksa berundur dan memberi ruang kepada Wan Azizah untuk kekal mengemudi parti itu sejak 1999.

"Maka wajar kita melihat ke belakang sebagai pedoman ke hadapan, Azizah mengemudi KEADILAN selaku Presiden usai 1999 dengan pelbagai cabaran, mehnah dan tribulasi.

"Namun iktikad Presiden, Timbalan Presiden, pimpinan dan akar umbi, ditambah keazaman rakyat menyaksikan kita mendobrak sejarah memimpin Pakatan Rakyat (ketika itu) bersama Azizah menafi dua pertiga UMNO-BN pada PRU Ke-12, meraih undi popular mencecah 51 peratus pada PRU Ke-13, dan melangkah gagah ke Putrajaya dengan menjadi parti komponen terbesar di Parlimen melalui muafakat Pakatan Harapan tanggal 9 Mei yang lepas," katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Abdullah dilaporkan mengakui wujud dua kumpulan yang menyokong pencalonan ke jawatan presiden menjelang pemilihan parti itu.

Katanya, satu pihak mahu Dr Wan Azizah kekal sebagai Presiden, manakala satu lagi mahukan Timbalan Perdana Menteri itu berundur dan memberi laluan kepada Anwar, sebagai persediaan menggantikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jawatan Presiden PKR tidak pernah bertukar tangan daripada Dr Wan Azizah yang mengisi jawatan itu sejak tertubuhnya parti itu pada 1999 (ketika itu dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional) sehingga hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 11:24 AM