BEKALAN lembu dari Thailand perlu mengikut spesifikasi, tiada penyakit dan sesuai untuk dimakan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Fahmi Mohd Yusof
mohdfahmi@nstp.com.my


KEMENTERIAN Pertanian dan Asas Tani mengambil langkah mendapatkan bekalan tambahan lembu dari Thailand bagi menampung permintaan sempena Hari Raya Aidiladha, bulan depan.

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata, ia sebagai langkah persediaan berikutan permintaan lembu biasanya meningkat menjelang perayaan itu, selain bagi mengelak bekalan berkenaan terputus.

Katanya, bagaimanapun pihaknya akan memantau dalam memastikan lembu yang diimport mengikut piawaian ditetapkan selain bebas penyakit.

“Bagi perayaan Aidiladha, buat masa ini bekalan makanan masih mencukupi, cuma kita melihat permintaan daging yang dijangka meningkat pada musim perayaan itu.

“Sebagai langkah mengelak bekalan tidak mencukupi, kerajaan akan dapatkan bekalan lembu dari Thailand, bagaimanapun pemantauan akan dibuat bagi memastikan ia mengikut spesifikasi, tiada penyakit dan sesuai untuk dimakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program ramah mesra bersama komuniti nelayan di Pengkalan Nelayan Ayer Baloi, Pontian, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Asas Tani Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan.

Terdahulu, Salahuddin meluangkan masa melawat kawasan ternakan kerang di perairan pantai Ayer Baloi selain meninjau Sistem Molluscure di Pengkalan Nelayan Ayer Baloi.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin memberi jaminan akan menjadikan Pontian sebagai hab utama pengeluaran hasil kerang di negara ini.

“Pada 2016, sebanyak 1,260 tan metrik kerang dihasilkan menerusi aktiviti akuakultur dan pengeluar paling tinggi serta berkualiti adalah dari daerah Pontian iaitu sebanyak 907 tan metrik.

“Jadi saya memberi jaminan akan memastikan Pontian menjadi hab pengeluar utama kerang di negara ini selain meneliti semua permohonan insentif kepada pengusaha kerang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 6:26 PM