Kenderaan yang dinaiki suspek dan kenderaan polis mengalami kerosakan akibat tindakan suspek yang cuba meloloskan diri. FOTO Ihsan Polis
Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my


POLIS menumpaskan satu sindiket pecah rumah dan melarikan kenderaan dengan penahanan tiga lelaki di lorong berhampiran sebuah pasar raya di Bandar Teknologi Kajang, Kajang, semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, suspek berusia antara 37 hingga 48 tahun ditahan ketika berada dalam sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, ketika kejadian, suspek bertindak agresif sebelum berlaku pergelutan dengan polis, namun mereka berjaya ditahan.

"Semakan rekod ke atas ketiga-tiga tangkapan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah yang mana masing-masing mempunyai 10 dan tujuh rekod membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

"Kedua-duanya juga pernah dipenjarakan atas kesalahan dadah dan jenayah pecah rumah. Pemeriksaan saringan awal air kencing ke atas ketiga-tiga tangkapan mendapati dua daripadanya positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan penahanan suspek, pihaknya percaya dapat menyelesaikan tiga kes termasuk menyelesaikan tiga kes kes pecah rumah dan melarikan kenderaan di Kajang dan Nilai, Negeri Sembilan.

Selain itu, kes pecah rumah di Cheras Perdana.

Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut.

"Dipercayai, kumpulan ini banyak terbabit dalam kes pecah rumah di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 2:18 AM