Laplanche menjawab soalan media ketika sesi temubual khas di pejabatnya.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Siasatan berhubung pembelian kapal selam Scorpene yang kontroversi berjalan lancar dengan kedua-dua pihak berkuasa dalam bidang kehakiman Malaysia dan Perancis mengendalikan kes itu, kata Duta Besar Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche.

Bercakap kepada Bernama berhubung isu itu yang menjadi lebih utama dalam kalangan rakyat Malaysia sejak dua bulan kebelakangan ini susulan pilihan raya umum lalu, Laplanche berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak adalah lancar.

“Kerjasama antara pihak berkuasa kehakiman di Perancis dan Malaysia amat baik. Mereka sudah berhubung dengan Peguam Negara Malaysia yang baharu mengenai semua isu berkaitan persoalan pada masa lampau dan saya dapat merasakan kesediaan yang kuat untuk menjalin kerjasama di kedua-dua pihak.

“Isu ini ditangani dan dikendali pihak yang kompeten,” katanya dalam satu temu bual eksklusif yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan Perancis pada 14 Julai.

Bagaimanapun, Laplanche berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut isu itu kerana ia berada di bawah bidang kehakiman Perancis, yang merupakan badan bebas di negara berkenaan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dilaporkan berkata, bulan lalu penubuhan pasukan petugas dibincang dalam Kabinet bagi menyiasat dakwaan rasuah membabitkan pembelian dua kapal selam Perancis pada 2002 ketika bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Pertahanan.

Pada 2002, Najib menyelia pembelian dua kapal selam Scorpene dan satu kapal selam Agosta daripada unit limbungan tentera laut Perancis, DCN, bernilai hampir €1 bilion (AS$1.17 bilion).

Pada Mei, sebaik saja kerajaan baharu dibentuk, Mohamad Sabu berkata, beliau perlu mendapatkan gambaran penuh berkaitan perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum meneliti butiran isu dan skandal dalam ATM, termasuk pembelian kapal selam Scorpene itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 10:43 AM