PENAFIAN oleh Datuk Mohd Kazim Elias berkenaan berita tular mengatakan beliau meminta siasatan dilakukan terhadap lebih 100 pemilik akaun laman sosial yang didakwa menggunakan namanya.
Zahratulhayat Mat Arif
zahratulhayat@nstp.com.my


PENCERAMAH bebas, Datuk Mohd Kazim Elias menafikan berita yang tular di laman sosial beliau meminta siasatan dilakukan terhadap lebih 100 pemilik akaun laman sosial yang didakwa menggunakan namanya.

Pengasas dan Pengetua Pusat Pendidikan Al Barakah itu membuat penafian itu di laman sosial Facebook (FB) miliknya dalam status yang dimuat naik semalam.

“Ini adalah maklumat palsu,” tulis pengendali laman sosial Facebook milik Mohd Kazim.

Menerusi berita yang tular di laman sosial, Mohd Kazim atau lebih popular dengan panggilan Ustaz Kazim dikatakan meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat lebih 100 pemilik akaun laman sosial yang didakwa menggunakan namanya.

Beliau mendakwa, setiap pemilik akaun palsu yang mempunyai jutaan pengikut itu menggunakan namanya untuk kepentingan tertentu termasuk menyebarkan hadis palsu dan mengutip derma menggunakan nama Pusat Pendidikan Al-Barakah.

Kelmarin, NSTP melaporkan, Ustaz Kazim mengesahkan akan menjual unit tahfiz di pusat berkenaan kerana tidak mampu lagi menampung kos pembiayaan pusat berkenaan yang dianggarkan berjumlah RM150,000 sebulan.

Bagaimanapun semalam, beliau yang mengadakan sidang media memberitahu penangguhan penjualan unit berkenaan sementara menunggu perbincangan dengan kerajaan negeri dan beberapa pihak lain yang menyatakan kesediaan membantunya.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu dalam kenyataan media semalam berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan pihak pengurusan Pusat Pendidikan Al Barakah untuk mengenal pasti kaedah yang sesuai bagi membolehkan pusat berkenaan terus beroperasi seperti biasa demi kepentingan pelajar dan kakitangan pusat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 3:15 PM