DUA lelaki ditahan dipercayai melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan peledak di kawasan perairan Katung Kalungan, Lahad Datu. Foto NSTP/IHSAN ESSCOM.
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


DUA lelaki ditahan selepas dipercayai melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan peledak di perairan Katung Kalungan, dekat Lahad Datu, semalam.

Kedua-dua suspek berusia 17 dan 48 tahun dipercayai etnik Pala’u ditahan ketika berada di sebuah perahu bersama muatan ikan seberat 32 kilogram (kg), kira-kira jam 5 petang.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Unit Risik Marin yang dalam penugasan Op Landai/Op Terancang membuat intipan ke atas aktiviti mengebom ikan.

“Ketika melakukan tugas dengan menggunakan perahu kampung, anggota risikan menahan sebuah perahu dinaiki dua lelaki, masing-masing juragan dan pembantunya.

“Hasil pemeriksaan menemui 32kg muatan ikan pelbagai jenis disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan,” katanya, hari ini.

Hazani berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku semua ikan terbabit ditangkap dengan menggunakan bahan letupan di sekitar perairan Katung Kalungan.

“Jumlah semua rampasan dianggarkan RM1,530 dan siasatan juga mendapati bahan peledak diperoleh dari Kampung Sri Langgas, Kunak.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Pangkalan Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 2:52 PM