WARGA Bangladesh yang ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen di Sri Serdang, Seri Kembangan.
Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my

Seri Kembangan: Jabatan Imigresen Malaysia menumpaskan sindiket penipuan Program Rehiring ketika serbuan di bangunan rumah kedai dua tingkat di Sri Serdang, Seri Kembangan, kelmarin.

Dalam serbuan Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa serta Unit Operasi Khas (QRT), imigresen menahan 68 lelaki warga asing di premis itu yang dijadikan transit sementara mendapatkan kerja.

Premis itu dijadikan pejabat bagi sebuah syarikat yang mempunyai kelulusan menjalankan Program Rehiring, namun kelulusan itu disalahgunakan dengan menyelitkan anak syarikat yang pengurusnya warga Bangladesh.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, hasil pemeriksaan itu, pihaknya menahan 68 lelaki warga asing iaitu 66 warga Bangladesh dan dua warga India yang baru masuk ke Malaysia tidak lebih daripada sebulan bagi tujuan mendapatkan pekerjaan.

“Pada masa sama, satu lagi pasukan menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan penerimaan dan pemprosesan di bawah Program Rehiring.

“Hasil pemeriksaan, beberapa dokumen dan permohonan yang tidak teratur dikenal pasti. Hasil semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),warga asing yang hanya menggunakan pas lawatan kerja sementara (PLKS) menjadi ahli lembaga pengarah atau rakan kongsi syarikat itu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.


WANG yang dalam simpanan sindiket ditemui.

Beliau berkata, pihaknya mendapati perjanjian dokumen antara syarikat itu dengan syarikat lain iaitu pemilik tengah dan kilang diragui.

“Semakan ke atas semua syarikat ini mendapati syarikat ini memohon jumlah pekerja asing yang terlalu banyak bagi kuota pekerja asing melalui Program Rehiring dengan dokumen yang diragui.

“Kami merampas beberapa dokumen sokongan, 98 pasport warga Bangladesh dan Indonesia serta wang tunai RM250,000 yang disyaki hasil kutipan untuk pemeriksaan kesihatan, levi, bayaran pas sosial, permohonan PLKS termasuk bayaran perkhidmatan kepada syarikat untuk menguruskan permohonan di bawah Program Rehiring.

“Dua wanita tempatan yang bertugas di syarikat itu ditahan. Turut ditahan, 11 lelaki warga Bangladesh yang berada di pejabat ketika serbuan dilakukan selain dua lelaki warga Bangladesh yang dikenal pasti sebagai pengarah syarikat dan anaknya yang bertindak sebagai transporter bagi menguruskan warga asing ini menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Semua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan susulan. Siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 11:16 AM