LOKASI lelaki Indonesia dihempap pokok. FOTO Ihsan Polis
Noor Hidayah Tanzizi
cnews@nstp.com.my


LELAKI warga Indonesia maut selepas dihempap pokok yang tumbang di kawasan pembalakan di Jalan Baru Parit- Seri Iskandar di Parit, semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa Usman Udun, 54, yang juga penduduk tetap negara ini meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, ketika kejadian, mangsa sedang melakukan kerja menebang pokok di kawasan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati akar pokok ditebang mangsa tersangkut dan terkena pada sebatang pokok yang sudah mati menyebabkan pokok berkenaan tumbang lalu menghempap mangsa.

“Rakan sekerja mangsa yang melihat kejadian itu kemudian terus menghubungi majikannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Changkat Melintang dan hasil bedah siasat yang dilakukan pagi tadi mendapati punca kematian mangsa adalah kerana kecederaan di kepala.

“Jenazah mangsa sudah diserahkan kepada isterinya untuk dibawa pulang ke Palembang, Indonesia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 10:14 PM