DUA lelaki bersenjatakan batang besi dan parang menyamun mangsa yang duduk di atas motosikal di hadapan pasar mini Jalan Rusa, Taman Selamat, Bukit Mertajam, pagi semalam. FOTO ihsan pembaca.
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@nstp.com.my


DUA lelaki kini diburu polis selepas menyamun wang tunai RM50 dan telefon bimbit daripada seorang lelaki dalam kejadian di Bukit Mertajam, 3.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika kejadian mangsa berusia 53 tahun berseorangan di hadapan pasar mini Jalan Rusa, Taman Selamat.

Beliau berkata, ketika sedang duduk di atas motosikalnya, mangsa dihampiri sebuah kereta sebelum suspek keluar dari kereta dan datang ke arahnya bersama senjata.

“Dua suspek yang bersenjatakan parang dan batang besi itu kemudian menyeluk poket seluar dan baju mangsa dan mengarahkannya menyerahkan semua barang berharga.

“Suspek merampas barang berharga milik mangsa sebelum melarikan diri menggunakan kenderaan sama dinaiki mereka,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang tidak cedera membuat laporan polis pada 12.50 tengah hari.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa yang tidak berkerja itu tinggal bersama ibu bapanya dan mengalami masalah kemurungan.

“Dia keluar dari rumah pada 12 tengah malam dan mahu pergi ke gerai makan untuk bersarapan dan gerai makan itu hanya dibuka pada 5 pagi.

“Antara yang disamun ialah wang tunai RM50, telefon bimbit dan barangan peribadi lain miliknya termasuk kad pengenalan dan lesen memandu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 9:59 AM