TANGAN kanan mangsa cedera akibat tersepit dalam mesin pencetak dalam kejadian di Jalan Perindustrian Silibin, Ipoh, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Farah Suhaidah Othman
cnews@nstp.com.my


LELAKI terpaksa menahan kesakitan selama kira-kira satu setengah jam selepas tangan kanannya tersepit dalam mesin pencetak di sebuah syarikat pengiklanan di Jalan Perindustrian Silibin, Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa berusia 36 tahun yang juga pekerja syarikat berkenaan cedera di pergelangan tangan kanan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh Mohd Subri Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 5.05 petang sebelum anggota bomba dihantar ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi pihaknya mendapati tangan kanan mangsa masih tersepit pada mesin pencetak di premis berkenaan.

“Anggota bomba bertindak menggunakan pemotong hidraulik bagi mengeluarkan tangan mangsa.

“Kerja-kerja menyelamat mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit," katanya ketika dihubungi.

Katanya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 10:12 PM