SAMSON (dua kiri) pada majlis pelancaran Model terbaru KIA STINGER. FOTO Yusni Ariffin
Lizam Ridzuan dan Hazwan Faisal Mohamad
bisnes@nstp.com.my


NAZA Kia Malaysia, pengedar sah jenama Kia melancarkan model sedan sport dengan ciri gran turismo (GT), Stinger untuk pasaran Malaysia pada harga bermula dari RM239,888.

Naza Kia Malaysia membawa masuk dua varian model berkenaan iaitu 3.3 liter V6 GT yang dijual pada harga atas jalan tidak termasuk cukai jalan dan insurans, RM309,888 dan 2.0 liter GT-Line (RM239,888)

Bagi varian 2.0 liter, ia dikuasakan enjin pengecas turbo empat silinder Theta II T-G yang menghamburkan sehingga 251 kuasa kuda (hp) pada 6,200 rpm dan tork 353 Nm dari 1,400 â 4,000 rpm, dengan pecutan dari 0 ke 100 kilometer sejam (ksj) dalam masa 6 saat.

Bagi varian 3.3 liter pula, prestasinya adalah lebih berkuasa dibantu enjin turbo berkembar V6 Lambda T-GDi yang menghamburkan sehingga 365 hp pada 6,000 rpm dan tork 510 Nm dari 1,300 - 4,500 rpm dan hanya mengambil masa 4.9 saat untuk memecut dari 0 ke 100 ksj.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Kumpulan Automotif) Naza Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George berkata, model berkenaan adalah inovasi era baru Kia, seiring dengan moto ‘The Power to Suprise’ mereka.

“Namun pada masa sama model ini masih mengekalkan DNA jenama terbabit yang menawarkan prestasi, keselesaan dan ciri teknologi terkini,” katanya pada majlis pelancaran KIA Stinger, hari ini.

Rekaan Kia Stinger dengan bayangan ‘fastback’ dan kedudukan pacuan-roda-belakang menjadikan ia tampil dengan elemen aerodinamik serta garis dan kontur pada pintu menyerlahkannya sebagai sebuah GT.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 10:10 PM
Skip this ad x