Program kebajikan ACF di Selangor.
Yusmizal Dolah Aling
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Penerapan nilai bahawa perlunya kebaikan dalam kehidupan dan kepercayaan kepada Tuhan, mendorong Yayasan Amal Adam (ACF) menganjurkan pelbagai program kesukarelawanan di Malaysia dan negara rantau Asia.

Menerusi aktiviti dianjurkan sukarelawan berpeluang melihat sendiri realiti kehidupan masyarakat di semua negara yang dikunjungi.

Pengasas ACF Mohd Syahrizal Abdul Samad berkata, pihaknya mengenal pasti golongan sasar di negara ini melalui jalinan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar negara.

“Kami tidak hanya tertumpu kepada kerja kemanusiaan di dalam negara. Bagi aktiviti di luar negara kami kerap bekerjasama dengan NGO seperti Rafath Annur Association for Islamic Education in Cambodia (RAA IEC) untuk menyalurkan sumbangan kepada golongan sasar di sana.

“Sukarelawan juga dilatih memahami budaya asing, lain tempat, lain caranya, jadi kita perlu tahu. Apa yang saya perhatikan, pendedahan ini dapat mempersiapkan sukarelawan dengan pelbagai pengalaman berharga untuk membantu orang lain,” katanya.

Mohd Syahrizal berkata, antara program terbesar dianjurkan tahun ini adalah Food Bucket Ramadan (FBR) yang dijayakan dengan kerjasama Women Global Network.


Sukarelawan ACF menyantuni komuniti Muslim di Selatan Filipina.

Menerusi program itu katanya, sukarelawan mengagihkan makanan asas seperti beras, gula, tepung, garam dan minyak kepada 2,000 penerima dalam kalangan fakir miskin, ibu tunggal, mahasiswa, pelajar madrasah serta anak yatim.

Menurutnya, pelbagai pengalaman diraih lebih 100 sukarelawan ACF menerusi beberapa misi dan ia menjadikan mereka lebih menghargai apa yang diperoleh dalam kehidupan seharian termasuk nikmat berada di negara yang aman tanpa sebarang konflik berpanjangan.

“Hubungan sesama sukarelawan menjadi semakin akrab dan mereka juga aktif melakukan aktiviti kemasyarakatan sama ada dalam atau luar negara.

“Kami harap progran seterusnya seperti Projek Qurban & Akikah 2018 nanti mendapat sambutan bukan saja daripada rakyat Malaysia, tetapi juga luar negara.

“Biarlah penduduk Muslim termasuk di pedalaman merasai nikmat walaupun hanya seketul daging. Pada mereka, ia sudah cukup mewah kerana hanya berpeluang makan daging setahun sekali ketika Aidiladha,” katanya.

Dia memberitahu ACF juga menjalankan program berbentuk pendidikan seperti Projek Waqaf Telekung dan menghadiahkan telekung serta mendidik kaum ibu cara menunaikan solat dengan betul.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 12:07 PM