Sharifah Mahsinah Abdullah
sharifah@nstp.com.my


BUDAK 11 tahun yang berkahwin dengan seorang peraih getah berusia 41 tahun tidak akan didakwa di mana-mana Mahkamah Syariah di Kelantan.

Timbalan Pendakwa Syarie Negeri Kelantan, Nor Azizi Abdul Rahman berkata, pihaknya membuat keputusan untuk tidak mendakwa budak itu kerana dia warga Thailand.

“Dalam kes ini, pihak kami tidak akan mendakwa isteri kepada lelaki tempatan itu kerana dia adalah rakyat Thailand.

“Manakala suaminya sudah didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang hari ini dan dikenakan denda RM1,800,” katanya.

Akhbar hari ini melaporkan peraih getah yang berkahwin dengan budak 11 tahun dikenakan hukuman denda berjumlah RM1,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang atas dua tuduhan iaitu berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran.

Hakim Mohd Surbaineey Hussain mengenakan hukuman terhadap lelaki itu sebanyak RM900 bagi setiap pertuduhan selepas mengaku bersalah terhadap kedua-dua kesalahan itu.

Peraih getah itu dituduh mengikut Seksyen 19 dan Seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (No 6) 2002 Negeri Kelantan yang masing-masing boleh membawa hukuman denda RM1,000 atau penjara dua bulan.

Sementara itu, Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melaporkan, ibu kepada kanak-kanak berusia 11 tahun berkenaan memaklumkan anaknya dijangka dibawa pulang ke Thailand dalam jangka masa terdekat.

Berita berkaitan:

Suami pengantin cilik didenda

Pengantin cilik pulang ke Thailand

Pasangan kontroversi dapat sijil nikah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 9:30 PM