LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai Mohamed Hanipa rebah dan terjatuh dari pentas ketika Dr Mahathir sedang berucap di Perhimpunan Bulanan JPM di Putrajaya.
Noor Atiqah Sulaiman
cnews@nstp.com.my


KEADAAN Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin yang pengsan sehingga terjatuh dari pentas ketika Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, pagi hari ini semakin stabil.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau dimaklumkan Mohamed Hanipa dalam keadaan stabil, tetapi masih perlu dipantau sekurang-kurangnya 24 jam.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, Mohamed Hanipa ada meminta izin untuk keluar dari wad, tetapi doktor tidak mengizinkannya berbuat demikian kerana masih perlu dipantau.

“Buat masa ini, punca beliau rebah masih belum diketahui dengan sepenuhnya,” katanya kepada media ketika ditemui selepas menghadiri majlis Perjumpaan Khas Menteri bersama Kakitangan Kementerian Kesihatan di kementeriannya di Putrajaya, hari ini.

Dalam kejadian 8.40 pagi itu, Mohamed Hanipa, 49, yang sedang berdiri atas pentas bersama barisan menteri lain tiba-tiba terjatuh dan pengsan di tempat kejadian.

Ketika itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sedang berucap kepada warga JPM.

Mohamed Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang kemudian terus diberikan rawatan kecemasan oleh anggota paramedik sebelum dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pada 4 April 2016, Mohamed Hanipa pernah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas pengsan ketika persidangan Dewan Rakyat.

Berita berkaitan

'Mohamed Hanipa stabil'

'Timbalan Menteri rebah, jatuh dari pentas'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 5:34 PM