Hidir Reduan dan Zanariah Abd Mutalib
cnews@nstp.com.my


PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Selangor akan diadakan pada 4 Ogos ini, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 21 Julai ini.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood, berkata PRK berkenaan akan menyaksikan beberapa penambahbaikan dilakukan SPR bagi mengurangkan kesesakan di tempat mengundi dan memberi keselesaan kepada pengundi.

“Bagi pengundi berusia 60 tahun ke atas, dua saluran akan diwujudkan untuk mereka.

“SPR akan menambah saluran mengundi di pusat mengundi mempunyai jumlah pemilih ramai dengan penambahan 21 saluran baharu menjadikan 109 saluran di DUN itu berbanding 88 saluran pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu.

“SPR akan memanjangkan tempoh masa pengundian dari 8 pagi hingga 5.30 petang berbanding sehingga 5 petang sebelum ini,” katanya pada sidang media di Menara SPR, Putrajaya, hari ini.

Othman berkata, SPR akan menggunakan Daftar Pemilih Suku Pertama 2018 yang dikemaskini sehingga 2 Julai lalu, yang mengandungi 51,230 pengundi berdaftar termasuk 51,217 pengundi biasa dan 13 pengundi tidak hadir luar negara.

Beliau berkata, SPR akan menggunakan Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19 Shah Alam sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Undi.


OTHMAN (tiga dari kanan) melihat peta kawasan DUN Sungai Kandis selepas sidang media mengenai PRK DUN Sungai Kandis di Menara SPR, Putrajaya, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.

“Seramai 865 petugas dilantik dalam kalangan orang awam untuk proses pengendalian PRK DUN Sungai Kandis dengan 19 premis bangunan digunakan sebagai Pusat Mengundi yang mengandungi 109 saluran.

“Kos bagi PRK yang pertama selepas PRU-14 ini dianggarkan berjumlah RM1.4 juta,” katanya.

Othman berkata, SPR turut menawarkan kepada mana-mana NGO dan badan yang berminat untuk menjadi pemerhati bagi proses PRK DUN ini dan boleh memohon kepada SPR sebelum 16 Julai ini.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, akibat kanser limfoma, 2 Julai lalu.

Mat Shuhaimi dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda pada PRU-12) pada 2008 dan mempertahankan kerusi itu pada PRU-13 serta PRU-14 selepas nama DUN itu ditukar kepada Sungai Kandis apabila berlaku persempadanan semula kawasan pilihan raya di Selangor awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 1:30 PM