FOTO hiasan.
Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


AHLI perniagaan rugi RM10,000 akibat diperdaya rakan sendiri yang diamanahkan memungut hutang berjumlah RM10,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa berusia 37 tahun mendakwa meminta seorang rakannya dikenali sebagai ‘Gemok’ berusia 29 tahun untuk mengambil dan menyimpan wang berkenaan pada 3 Julai lalu.

“Pada mulanya, peminjam wang berkenaan menghubungi mangsa untuk membayar hutang berkenaan di Genting Highlands, namun ketika itu mangsa ada di Kuala Lumpur.

“Mangsa kemudian meminta rakannya (suspek) yang kebetulan berada di pusat peranginan berkenaan untuk mengambil wang berkenaan bagi pihaknya,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, suspek mengesahkan menerima wang itu jam 6.30 petang hari sama, namun tidak mengangkat telefon apabila mangsa tiba di pusat peranginan itu pada 9 malam.

Beliau berkata, mangsa cuba menghubungi suspek menerusi dua nombor telefon bimbitnya, tetapi gagal sebelum menerima Whatsapp daripada suspek mengakui menggunakan semua RM10,000 itu.

“Suspek mengelak daripada bertemu mangsa walaupun dipercayai masih berada di Genting Highlands berdasarkan keretanya yang ditemui di tempat letak kereta pada hari kejadian.

“Mangsa yang tidak berpuas hati kemudian membuat laporan di Balai Polis Genting Highlands dan kes disiasat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 37 tahun kerugian RM16,300 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan pinjaman peribadi dan terbabit dengan penggubahan wang haram di Maran pada 3 Julai lalu.

Mohd Wazir berkata, mangsa pada mulanya dihubungi seorang wanita yang mendakwa dari bank dan menyatakan mangsa mempunyai tunggakan pinjaman peribadi dan kad kredit berjumlah RM3,3375.

Beliau berkata, mangsa menafikan perkara itu sebelum talian disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau, Sabah untuk membuat laporan polis.

“Mangsa bercakap dengan Inspektor Zamri bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Suspek meminta mangsa memasukkan semua wang yang ada di dalam akaun ke dalam nombor akaun bank diberikan.

“Mangsa kemudian memindahkan beberapa kali pindahan wang menjadikan jumlah keseluruhan RM16,300,” katanya.

Beliau berkata, selepas itu, Inspektor Zamri memberitahu pihak polis akan menghantar surat daripada mahkamah bagi menyelesaikan masalah itu ke rumah mangsa. Menurutnya, namun sehingga hari ini mangsa tidak menerima surat itu dan membuat laporan di IPD Maran, kelmarin.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 11:36 AM