Zahratulhayat Mat Arif
zahratulhayat@nstp.com.my

Ipoh: Lebih 5,000 pemandu yang menawarkan perkhidmatan e-panggilan mendaftar bawah Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sehingga awal bulan ini.

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran bagaimanapun berkata, walaupun pendaftarannya meningkat, jumlah itu belum cukup memberangsangkan.

Sehubungan itu, beliau berharap semua 90,000 pemandu yang menawarkan perkhidmatan berkenaan mendaftar bawah skim berkenaan demi jaminan keselamatan sosial mereka.

“Perangkaan menunjukkan sektor ini adalah pekerjaan paling berisiko kerana mereka selalu berada di atas jalan raya.

“Pemandu memerlukan skim ini dan kami secara sukarela akan melindungi mereka.

“Jumlahnya hanya RM150 setahun dan perlindungan skim ini bukan untuk diri pemandu sahaja, tetapi keluarga mereka sekiranya berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.


Kulasegaran melawat Kaunter Khidmat Rakyat di Pasar Awam Buntong, semalam.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Kaunter Khidmat Rakyat di Pasar Awam Buntong di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO John Riba Marin.

Kulasegaran berkata, PERKESO memperkenalkan empat jenis bayaran caruman setahun dan mereka boleh memilih jumlah yang sesuai dengan cita rasa dan kemampuan mereka.

Katanya, bayaran caruman bermula daripada RM157.20 hingga RM592.80 setahun dan sepanjang April lalu, hanya 4,231 pemandu sudah berdaftar dengan skim berkenaan.

Beliau berkata, pemandu perkhidmatan e-panggilan perlu mengambil iktibar daripada kejadian pemandu Grab yang mati dipercayai akibat dibunuh bulan lalu yang mana mangsa tidak berdaftar dengan PERKESO.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 11:00 AM